Days till our first baby


5- Berakhirnya seminggu percutian......

بسم الله الرحمن الرحيم


Tepat jam 0000 waktu Mesir, bertarikh 14 Mac 2009 maka tamatlah seminggu masa untuk semua pelajar perubatan di Iskandariah (Program MOU) bercuti bagi semester pertama tahun 2008/2009. Selepas tamatnya peperiksaan akhir semester pada 5 Mac yang lalu, kebanyakkan pelajar mempunyai perancangan tersendiri untuk mengisi masa terluang.

Pada kebiasaannya, setiap kali cuti akhir semester pertama bagi setiap tahun, pihak Universiti Iskandariah akan mengadakan program melawat sekitar Mesir, tapi pada tahun ini atas permintaan pelajar, program itu dibatalkan. Ini kerana ramai pelajar yang ingin melancong sendiri tidak kira dalam negara ini ataupun di luar negara. Dalam perkiraan penulis, ramai pelajar yang mengambil kesempatan cuti ini untuk melawat sambil melancong ke luar negara (luar Mesir). Ada pelajar yang pergi ke Itali, ada juga yang pusing-pusing Eropah, Greek termasuk juga yang pergi ke Turki. Bagi mereka yang melancong luar Mesir, diharap masing-masing jaga diri dan kelakuan. Harap esok semua bersemangat untuk teruskan semester kedua bagi sesi 08/09.

Selain melancong luar Mesir, ramai juga pelajar yang membuat keputusan untuk melancong dalan Mesir seperti Sinai, Matruh, Siwa, Dahab, Sham El-Sheikh dan ada juga mengambil keputusan menziarahi sahabat handai di muhafazah-muhafazah serata Mesir. Masing-masing mempunyai perancangan yang teratur dan lengkap. Harap semua berpuas hati dengan cuti yang diberikan.

Bagi penulis, selepas pulang dari Hari Sukan PERUBATAN, penulis lebih banyak menghabiskan masa di Iskandariah menemani seseorang di rumahnya. Mengikut perancangan penulis, selepas berakhirnya hari sukan tersebut, penulis ingin menziarahi sahabat handai di Muhafazah Kaherah. Tapi penulis tidak sampai hati untuk meninggalkan teman penulis keseorangan di rumahnya. Bukan kerana kesiankan dia berseorangan tapi penulis kesiankan teman itu mengemas rumahnya seorang diri.

Rumah teman penulis 'banjir' selepas hujan yang 'lebat' berturut-turut selama hampir lima hari semasa peperiksaan yang lalu. Disebabkan kesibukkan mengulangkaji pelajaran, ahli rumah tersebut tidak sempat untuk membersihkan rumah mereka dan terpaksa menunggu tamatnya peperiksaan. Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa ahli rumah teman penulis yang lain tidak membantunya? Ahli rumah yang lain telah membeli tiket untuk menuju ke destinasi masing-masing yang telah dirancang sebelum berlakunya 'banjir' itu, oleh itu tinggallah teman itu keseorangan di rumahnya.

Teman penulis terpaksa membersihkan rumah itu kerana rumah itu akan dikunjungi tetamu dari Malaysia. Jadi, terpaksalah teman bersungguh-sungguh membersih dan mengemas rumah tersebut dengan tulang empat keratnya itu. Penulis tidak sampai hati untuk meninggalkan teman bekerja keseorangan. Oleh itu, penulis terpaksa batalkan niat (tunda) program menziarahi sahabat handai dan bersama-sama dengan teman untuk mengemas rumah itu.

Hampir tiga hari masa yang diambil oleh penulis dan temannya untuk menyiapkan dan mempercantikkan rumah itu. Banyak pengubahsuaian telah dilakukan, antaranya dinding dicat baru dan ditampal 'wallpaper', dan pelbagai lagi yang dibuat. Kali ini, penulis rasa amat gembira kerana dapat membuat kerja-kerja bertukang bersama temannya. Penulis yang sudah lama tidak bertukang masih mampu bertukang seperti biasa. Masa kecil, penulis selalu menolong ayah bertukang rumah sehinggakan penulis pandai menggunakan semua peralatan ayah penulis.

Sekarang ini, disebabkan penulis berjauhan dengan ayah, dan kesihatan ayah tidak mengizinkan ayah bertukang lagi, penulis menjadi rindu untuk bertukang. Penulis takut kepakaran yang penulis dapat dari ayah hilang jika tidak digunakan. Alangkah gembiranya penulis apabila hari ini, penulis mampu bertukang dengan baik dan masih lagi menguasai kepakaran bertukang itu.

Alhamdulillah, bersyukur kerana penulis masih diberikan kepakaran untuk bertukang lagi dan juga pengalaman bersama teman untuk mencantikkan rumah tersebut. Selepas selesai mengemas, penulis dan temannya berpuas hati dengan hasil kerja mereka.

Bagi sahabat handai di Kaherah, insyaALLAH jika diberi kesempatan dan keizinan waktu, penulis akan sampai di sana. Tunggu ketibaan penulis nanti dan penulis meminta maaf tidak dapat meluangkan masa bersama sahabat semasa cuti ini.

Esok kuliah bermula jam 0800 sehingga 1100. Selamat belajar kepada semua pelajar Iskandariah.

Sufian As-Suari:

"Tiada pekerjaan yang lebih baik daripada menuntut ilmu dengan hati yang ikhlas."

RENUNG-RENUNGKANLAH!!!!!!!

0 orang berkata-kata:

Post a Comment

 
Perubatan Cawangan Iskandriah UPI Iskandariah Alex Academic Team PERUBATAN.ORG
© Copyright 2011 Katakan Ia dari Hatiku V2 Design by niktaufik. Edited by niktaufik

Paparan terbaik menggunakan Internet Explorer 8.0 dan Firefox 3.0 dengan resolusi skrin 1280 x 1024 piksel

track website visits