Days till our first baby


17- Keluargaku

بسم الله الرحمن الرحيم

Apa pandangan pembaca apabila berjauhan dengan ahli keluarga anda? Pasti pembaca akan merindui mereka bila berjauhan apatah lagi terpaksa berjauhan selama bertahun-tahun kerana belajar malah ada juga berjauhan kerana bekerja. Bagi pelajar yang berjauhan kerana belajar, seperti penulis, setiap hari pasti akan merindui mereka.

Ketika bersama, kita bagaikan tidak menghargai kewujudan mereka. Kalau yang mempunyai abang atau kakak yang beza umur hanya setahun dua, pasti akan bergaduh setiap kali bersama. Tapi bila berjauhan beribu-ribu batu, kita pasti akan merindui saat bersama mereka.

Bagi yang sudah mempunyai anak saudara ( anak buah ), kita juga pasti merindui saat bermain dengan mereka. Bila teringat kembali muka ditampar, jari digigit, duit di'pau', kita pasti akan tersenyum sendirian. Terasa baru semalam bermain dengan mereka semua.

Setelah sekian lama tidak berjumpa mereka, kadang-kadang kita pasti menangis seorang diri sambil mengenang kembali kisah-kisah lucu, gembira dan sedih bersama mereka. Walaupun setiap kali berjumpa mereka, kita pasti akan bergaduh, namun disebabkan ikatan talian darah daging membuatkan kita semua merindui mereka bila berjauhan bak kata pepatah, "air yang dicincang tidak akan putus".

Bagi pembaca sekalian, usahlah tunggu berbulan-bulan, bertahun-tahun untuk menghubungi mereka. Jangan biarkan kesibukan kita semasa merantau jauh menjadi penghalang kepada kita untuk menghubungi mereka. Janganlah kita membuatkan mereka tertanya-tanya akan khabar berita kita semasa berjauhan dengan mereka. Hubungilah mereka, hilangkan resah hati mereka semua terutama ayah dan ibu masing-masing. Ayah dan ibu kita pasti lebih risau akan anak mereka yang merantau jauh di tempat orang. Ambillah masa, sekurang-kurangnya seminggu sekali selama lima minit sudah mencukupi untuk kita menghubungi mereka.

Eratkan hubungan sesama keluarga walaupun berjauh dengan mereka. Tanyalah khabar berita mereka selalu, dan ambil berat akan mereka semua. Janganlah kita menjadi anak yang lupakan ibu bapa, sesungguhnya itu adalah perbuatan anak yang derhaka. Janganlah kita lupa daratan walaupun kita telah berjaya. Usahlah anggap kejayaan yang kita kecapi itu adalah milik kita seorang, sesungguhnya tanpa keluarga, adakah kita akan mampu hidup sehingga sekarang.

جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم يبايعه على الهجرة وترك أبويه يبكيان فقال: ارجع إليهما وأضحكهما كما أبكيتهما

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi saw hendak berbaiah untuk berhijrah, dia meninggalkan ibu-bapanya dalam keadaan mereka berdua menangis, lalu Nabi S.A.W. bersabda: “Pulang kepada mereka berdua, dan ketawakanlah mereka semula sebagaimana kamu telah menjadikan mereka menangis."

Hadis di atas menerangkan betapa pentingnya kita menjaga perasaan orang tua sebelum berhijrah atau bermusafir jauh walaupun untuk perkara yang baik. Adakah pembaca sekalian pernah fikir akan perasaan mereka bila mana kita tidak menghubungi mereka tanyakan makan minum, khabar berita mereka? Janganlah kita menjadi anak yang derhaka.

Memang betul jika kita mengatakan kita amat sibuk dengan urusan kerja ataupun urusan belajar. Tapi mana yang lebih penting, urusan dunia ataupun perasaan keluarga kita? Fikir-fikirkanlah.

0 orang berkata-kata:

Post a Comment

 
Perubatan Cawangan Iskandriah UPI Iskandariah Alex Academic Team PERUBATAN.ORG
© Copyright 2011 Katakan Ia dari Hatiku V2 Design by niktaufik. Edited by niktaufik

Paparan terbaik menggunakan Internet Explorer 8.0 dan Firefox 3.0 dengan resolusi skrin 1280 x 1024 piksel

track website visits