Days till our first baby


37- Warkah buat bonda

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum w.b.t....

Kehadapan bonda yang tersayang, moga bonda sihat sejahtera hendaknya. Anakanda di sini alhamdulillah masih diberi peluang untuk hidup dalam rahmat Islam dan Iman.

Bonda,
Ini merupakan kali pertama dan juga mungkin yang terakhir bagi anakanda menulis warkah ini buat bonda. Moga penulisan warkah ini mampu anakanda luahkan segala yang terbuku dalam di hati anakanda ini.

Bonda,
Anakanda ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas pengorbanan bonda bertarung menahan bebanan dalam mengandungkan anakanda selama sembilan sepuluh hari. Anakanda juga ingin mengucapakan jutaan terima kasih atas kesabaran bonda dalam membawa anakanda ke mana sahaja bonda pergi walaupun amat menyusahkan dan melambatkan pergerakan bonda. Anakanda ingin memohon maaf di atas 'kekasaran' anakanda menendang perut bonda sewaktu anakanda berada dalam kandungan bonda. Banyak pengorbanan bonda telah curahkan sewaktu bonda mengandungkan anakanda. Terima kasih lagi sekali bonda.


Bonda,
Tepat jam 2.15 pagi, bonda bertarung hidup dan mati dalam melahirkan anakanda di dunia ini. Mendengar tangisan anakanda membuatkan bonda tersenyum. Masih anakanda ingat cerita ayahanda, bonda gembira setelah melahirkan anakanda. Walaupun di pagi buta, bonda mengerang kesakitan semata-mata untuk memberikan peluang kepada anakanda untuk menikmati hidup sebagai seorang hamba kepada PENCIPTA. Terima kasih bonda. Pengorbanan bonda amatlah besar bagi anakanda.

Bonda,
Sewaktu anakanda masih kecil, ayahanda pernah bercerita. Bonda tidak tidur malam kerana menjaga anakanda. Bonda pasti akan terjaga setiap kali anakanda menangis kelaparan. Pernah satu hari, bonda tidak mampu untuk membuat apa-apa pekerjaan disebabkan oleh sakit demam anakanda. Bonda tidak pernah bergerak jauh dari anakanda kerana risaukan sakit demam anakanda. Ayahanda terpaksa menjadi tukang masak sementara bagi menggantikan bonda. Kerana kurang makan, bonda kelihatan amat lesu dan letih. Bonda tidak lalu makan kerana sedih melihat kesengsaraan yang terpaksa dialami oleh anakanda.

Bonda,
Selepas tamat zaman sekolah rendah, anakanda ditawarkan ke sekolah berasrama. Masih anakanda ingat pada masa itu, bonda amat gembira setelah mendapat tahu anakanda berjaya memasuki sekolah berasrama. Kegembiraan bonda tidak lama, semasa anakanda di tingkatan empat, anakanda telah melanggar peraturan sekolah. Anakanda menyebabkan bonda terpaksa datang ke sekolah kerana kebodohan anakanda sewaktu di zaman persekolahan. Anakanda minta maaf kerana anakanda telah memalukan bonda dengan tindakan bodoh anakanda. Anakanda juga ingin berterima kasih pada bonda dan ayahanda kerana merahsiakan perkara ini dari pengetahuan kekanda yang lain. Jika tidak, sudah tentu telinga anakanda akan sentiasa dihujani leteran dari kekanda-kekanda lain.

Bonda,
Masih terngiang-ngiang pesanan bonda di telinga anakanda. "Belajar rajin-rajin. Jangan duk main banyak." Itulah kata-kata bonda sebelum anakanda berangkat ke bumi anbia' ini. Tapi yang berlaku adalah sebaliknya. Mungkin kejutan budaya menyebabkan anakanda kurang fokus pada pelajaran. Maafkan anakanda bonda. Selepas ini, anakanda tidak akan ulangi perkara yang sama lagi.

Bonda, tentu bonda rindukan anakanda yang jauh di sini. Maafkan anakanda kerana sudah lama tidak menghubungi keluarga di kampung. Anakanda agak sibuk sejak kebelakangan ini.

Bonda, sekiranya anakanda sempat berbual dengan bonda sebelum pemergian bonda buat seketika dulu, alangkah indah rasanya. Sekarang hidup anakanda bagaikan kapal tanpa kelasinya. Bergerak mengikut pukulan ombak. Menunggu masa untuk karam tidak beberapa lama lagi. Anakanda amat menyesal kerana tidak menghubungi bonda setiap masa. Banyak masa anakanda terluang begitu sahaja di sini. Mengapakah dulu anakanda tidak terfikir akan berlaku begini. Kalau sejak awal lagi anakanda berfikir begini, sudah tentu anakanda tidak akan rasa menyesal begini. Anakanda rindukan bonda. Bonda, ampun segala dosa anakanda. Anakanda banyak derhaka pada bonda. Maafkan anakanda.

Anakanda doakan agar roh bonda ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Anakanda akan berusaha untuk menjadi seorang anak yang soleh. Anakanda mahukan yang terbaik untuk bonda di alam sana.

Yang benar,
Anakandamu yang jauh.

Ps: Jangan biarkan dirimu menyesal sebegini.

Sayang kamu.

1 orang berkata-kata:

PALESTINE EVERGREEN said...

blog anda telah disenaraikan dalam bloglist kami.tahniah! :)

Post a Comment

 
Perubatan Cawangan Iskandriah UPI Iskandariah Alex Academic Team PERUBATAN.ORG
© Copyright 2011 Katakan Ia dari Hatiku V2 Design by niktaufik. Edited by niktaufik

Paparan terbaik menggunakan Internet Explorer 8.0 dan Firefox 3.0 dengan resolusi skrin 1280 x 1024 piksel

track website visits