Days till our first baby


48- Pemergian Ayahanda Tercinta

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari ini genap seminggu pemergian ayahanda tercinta. Bagaikan baru sahaja semalam bergurau senda dengannya sambil makan bersama. Walaupun seminggu bersama dengan arwah semasa di hospital, tapi terasa bagaikan hampir berbulan-bulan menemani arwah yang terlantar sakit disebabkan "recurrent hemorhagic stroke". Sebelum ini, penulis tidak dapat memenemani arwah walaupun sudah dua kali arwah di tahan wad kerana penyakit yang sama. Kali ini, penulis dapat merasakan sendiri bagaimana susahnya bonda menjaga arwah selama berminggu-minggu ketika arwah ditahan di wad di Hospital Besar KB pada tahun 2007 dan 2008.

Semasa arwah terlantar di hospital, penulis amat kesiankan bonda kerana tidak dapat tidur dengan lena kerana terlalu memikirkan keadaan arwah. Kesihatan bonda turut terganggu. Tekanan darah bonda meningkat melebihi dari paras normal kerana tidak cukup tidur. Penulis dapat merasakan betapa risaunya bonda terhadap arwah semasa arwah terlantar di hospital. Di saat beginilah DIA mahu menguji sejauh mana kasih sayang seorang isteri terhadap suaminya. Maka terbuktilah betapa sayangnya bonda terhadap arwah sampaikan kesihatannya sendiri tidak terjaga. Kerana terlalu risaukan kesihatan bonda, penulis bergilir-gilir menjaga arwah. Pada sebelah malam, penulis akan bercekang mata menjaga arwah bagi membolehkan bonda berehat di rumah. Selepas kepulangan anak-anak yang lain, bonda lebih banyak berehat di rumah kerana kami adik-beradik masing-masing bergilir menjaga arwah.

Arwah tidak sedarkan diri setelah dua malam berada di Hopsital Daerah Jeli. Sejak dari itu, kerisauan jelas terpampang di wajah bonda. Penulis hanya mampu berdoa agar arwah cepat sembuh, dan sekiranya DIA lagi menyayangi arwah, penulis memohon agar dipermudahkan segala urusan. Penulis juga berdoa agar bonda dapat menempuhi segala yang berlaku dengan tabah. "Sekiranya dia (arwah) nak gi, biarlah dia gi dengan mudah, che redha jer Pik." masih terngiang-ngiang di telinga penulis kata-kata bonda sehari selepas arwah tidak sedarkan diri. Betapa tabah dan redhanya hati seorang isteri kerana tidak sanggup melihat penderitaan yang dialami oleh suaminya sendiri.

Masuk hari ke-6 arwah terlantar di hopital, pada malam itu tiba giliran penulis untuk menemani arwah. Pada masa itu, nafas arwah sudah tidak normal. Menurut doktor yang bertugas pada malam itu, arwah sedang tenat. Penulis dan bonda serta tiga orang kakak penulis berada di sisi arwah semasa arwah sedang tenat. Tiga orang adik-beradik yang lain sudah pulang ke rumah masing-masing kerana mereka tidak dapat cuti lama. Namun, selepas mendapat tahu keadaan arwah yang sedang tenat, ketiga-tiga adik-beradik penulis mengambil keputusan pulang ke kampung tanpa sempat memohon cuti.

Pada hari ke-7, tepat jam 4.55 petang bertarikh 25 Ogos 2009, bersaksikan mata penulis sendiri arwah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas tamatnya azan asar. Pemergian arwah amat tenang dan senang sekali. Arwah pergi dengan keadaan yang amat perlahan. Segala urusan bermula dari proses memandikan jenazah sehinggalah proses pengebumian arwah selepas solat terawih berjalan lancar tanpa sebarang halangan. Alhamdulillah.

Kepada pembaca yang budiman sekalian, marilah sama-sama sedekahkan al-Fatihah dan sama-sama berdoa semoga roh saudara-mara serta para mujahid dan mujahidah, dan juga umat Islam yang lain yang telah meninggal dunia agar ditempatkan bersama dengan orang yang beriman serta bertaqwa kepada ALLAH S.W.T.

4 orang berkata-kata:

Nieeyz said...

takziah
semoga arwah ditempatkn bersm org y beriman.ameen

din said...

takziah topek

sabar byk2

doa seorang anak itu penting

.. said...

takziah..

ceeenah said...

takziah..sorry..lambat tahu..umm

Post a Comment

 
Perubatan Cawangan Iskandriah UPI Iskandariah Alex Academic Team PERUBATAN.ORG
© Copyright 2011 Katakan Ia dari Hatiku V2 Design by niktaufik. Edited by niktaufik

Paparan terbaik menggunakan Internet Explorer 8.0 dan Firefox 3.0 dengan resolusi skrin 1280 x 1024 piksel

track website visits